Monday, August 24, 2009
Bersahur Cara Rasulullah
oleh : Mohd Yaakub Mohd YunuS
SUMBER:AL-KHAADEM
Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat
keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:
“Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu
terdapat keberkatan.” - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.
Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam
ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h: “Keberkatan sahur
itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab,
menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang
timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta
saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan
memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa
sebelum tidur.” – Rujuk Fathul Baari, Jil.11, ms. 120.
Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah
puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah
makan sahur.” - Hadis riwayat al-Tirmizi.no: 643
Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan
rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan
sahur. Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun
dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :
“Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya
meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya
Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” -
Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.
Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan
solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan
azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar
sodiq benar-benar telah terbit.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.
Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak
membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi
Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga
terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:
“Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya
siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian
sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” - Surah al-Baqarah:187
Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:
“Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk
mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no:1920.
Qadi Iyadh r.h berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana
waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11,ms. 114.
Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar
waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit
sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:
“Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat.
Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kirakira
(membaca) lima puluh ayat.” - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.
Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah
sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak
lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis
tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda
makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan
waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi
s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.
Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:
1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai
bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang
itu meninggalkan solat Subuh.
2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan
kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal
maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan
keletihan pada siang harinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Custom Search
2 comments:
ssh skt bab2 nk bgn sahur nie wlaupun tau byk keberkatan nyer..
hehe..ala..kul 5.30pg pn dan lagi.. minum air segelas ckup doh..=)
Post a Comment